Apabila ekonomi negara dikemudi oleh ekuiti dan bukan hutang kegagalan suatu bisnes bermakna akhir sebuah kisah, dan sipelabur dan pengusaha boleh bangun semula untuk mula bisnes baru.

Apabila ekonomi negara dikemudi hutang dan bisnes gagal, maka sipengusaha-pengusaha tersimpang tetapi pembiaya pembiaya tetap miliki hutang dan tetap tuntut hutang. Akibatnya ialah terkumpul sejumlah besar hutang yang tidak hilang dan terus menjadi pemberat kepada pengusaha pengusaha untuk bangun semula.

Yang berjaya dibawah sistem hutang ini ialah segelintir yang tiada takdir buruk berlaku terhadap bisnesnya. Makin lama ia menjadi lagi besar kerana tiada persaingan, ramai telah kecundang. Kekuatannya membenar ia berlagak sebagai sebuah monopoli dan mengeksploitasi semua kelebihan monopoli dan menjadi kaya dan lagi kaya. Maka terwujudlah empat kelompok dalam ekonomi tersebut. Golongan syarikat besar yang makin membesar dan semakin kaya, golongan pengamal riba yang wajib tidak rugi dan semakin kaya, dan golongan gagal bankrup dan tercungap cungap, dan rakyat jelata yang akan menerima akibat sebuah sistem pincang.

Rakyat jelata terkesan dengan karenah golongan kaya dan golongan riba ini. Malah sistem membenarkan golongan riba cipta duit bila syarikat besar mohon pinjaman (rujuk www.mmj.my). Dan apabila hutang diberi bukan untuk gunaan ekonomi sebenar (real economy) maka terciptalah wang begitu banyak tanpa diiringi kenaikkan jumlah barang dan khidmat. Maka terhasillah inflasi gelembung (bubble inflation) dan inflasi ‘am. Harga semua benda termasuk barang makanan naik tanpa henti, pengangkutan awam dan sewa rumah juga naik tanpa henti. Harga rumah sudah menjadi mimpi ngeri kepada pasangan baru untuk beli.

Kesemuanya akibat berimannya kita kepada falsafah barat dalam ekonomi, saperti ‘profit maximisation’, ‘laissez faire’, dan amalan dan sokongan kuat kita terhadap sistem monetari dan perbankan pincang yang diwarisi dari barat.

Perniagaan dikendalikan dengan hutang. Ancaman Allah dan Rasul mengistihar perang terhadap pengamal riba dalam mafhum Surah AlBaqarah ayat 279 tidak diendah dunia. Larangan dalam mafhum hadith jangan ambil manfaat dari hutang dikesamping oleh cerdik pandai. Hutang menjadi kemudi muamalat dunia. Yang seharusnya menjadi suatu transaksi luar tabi’i menjadi amalan harian dunia muamalat termasuk muamalat negara dan umat Islam.

Apabila Quran dan Sunnah mengharamkan sesuatu muamalat mana mungkin ia menjadi tonggak ekonomi. Tetapi kebebalan kita menyoal pendidikkan yang diwarisi barat menidakkan pihak berkuasa dan cerdik pandai menyoal mengapa kita harus hidup menentang firman Tuhan dan amaran Rasul didalam sistem pendidikkan dan muamalat kita.

Sungguh parah kesan penjajahan barat; kita tangisi kehilangan hasil mahsul negara yang diangkut balik oleh penjajah tetapi kita tidak pernah tangisi rompakan durjana roh Islam yang telah dicarik dari sanubari kita. Rompakan sistem pendidikan yang seharusnya mengagungkan AlQuran dan Sunnah. Dan dari penguasaan ilmu AlQuran dan ilmu Sunnah kita mencungkil rahsia Ilahi untuk meningkatkan Sains dan Teknologi umat saperti telah berlaku pada abad kegemilangan dunia Islam pada abad 6 ke abad 13 masehi. Dunia Islam tiada lagi syumul, menguasai kedua dua ilmu, ilmu Quran dan Sunnah dan ilmu dunia.

Umpama buih dilautan kita dihanyut kesana kesini oleh gelombang kesesatan barat. Apabila barat mewarisi muamalat riba dan industri perbankan yang terlahir diVenice pada abad ke16 maka industri jijik ini terhampar dipesisiran pantai kita pada tahun 1786 dengan sampainya penjajah British kebumi Tanah Melayu.

Mereka bicara dengan datuk nenek kita mereka tidak akan Kristiankan orang Tanah Melayu tetapi apa yang mereka lakukan ialah mereka telah sekularkan kehidupan kita sebagaimana mereka telah sekularkan kehidupan mereka satelah mereka jatuhkan pemerintahan Gereja dinegara mereka pada abad yang ke16 yang sama.

Umat Islam masih tidur dibuai mimpi. Penggerak minda saperti Professor Syed Naquib AlAttas yang membangun umat dari tidurnya dengan buku gemparnya “Islam dan Sekularisme” tidak diberi tempat didalam hati masyarakat masakini. Pemberi amaran dan penunjuk arah dari kalangan umat perihatin, disoal keabsahan pendirian mereka dari pemilik fikiran yang telah rusak dikecamukkan pendidikan dan budaya barat.

Ayuh kemana kita sahabat ku? Kering sudah airmata dipipi. Mari kita bangun ubahkan nasib kita. Mari kita ubah sistem pendidikan kita supaya ia menghasil generasi mendatang yang menguasi kedua dua ilmu, Ilmu AlQuran dan Sunnah dan Ilmu Dunia. Mari kita ubah sistem muamalat kita, sistem monetari dan perbankan kita, kepada yang tidak lagi berpaksikan hutang dan riba. Dan mari kita ubah sistem monetari antarabangsa kita kepada suatu sistem yang tidak terus memperkuatkan musuh durjana yang sedang menghancurkan dunia Islam dan mengancam AlAqsa dan Palestin.

Translate »