Kenyataan Media – Gerakan Keadilan Monetari / Movement for Monetary Justice.
Tarikh : 6hb Februari 2018

Di dalam temubual dengan media massa, Dato Ameer Ali, Pengarah Urusan Mydin, sebuah jaringan hypermarket tempatan kehairanan KDNK Negara meningkat namun pengguna seolah tidak memiliki wang untuk membeli barang harian. Sudah tiba masanya kita fahami dan hadapi masalah sebenar yang mengharungi kita dan setiap Negara yang sedang mengamal sistem perbankan dan monetari yang sama.

Hakikatnya ialah hak penciptaan wang di dalam sesebuah Negara kini bukan lagi milik tunggal pemerintah. Secara sedar atau tidak sedar purata 97% wang dalam sesebuah Negara dicipta oleh pihak swasta yakni bank-bank komersial di negara tersebut.

Kerajaan melalui bank pusat hanya mencipta 3% wang Negara yakni wang nota dan wang syiling. Bakinya yakni wang buku cek atau wang kad ATM, dicipta oleh bank bank dari atas angin, apabila mereka meminjam berkali kali wang yang didepositkan dengan mereka.

Perkara ini diakui sendiri oleh bank pusat United Kingdom, yakni Bank of England termasuk juga bank pusat Persatuan Eropah, European Central Bank. Malah penemuan terbaru ialah bank mencipta wang apabila mereka memberi pinjaman.

Sudah tiba masanya perangka polisi kewangan dan ekonomi Negara ini tidak lagi menutup mata terhadap fenomena ini. Disebabkan fenomena inilah wujudnya dilemma di atas, di mana kenaikan KDNK tidak diikuti dengan bertambahnya wang dalam poket rakyat biasa.

Hakikatnya terlebih ciptaan wang yang disebut di atas mencuri kuasa beli rakyat marhaen. Seperti disebut dalam artikel di atas pada masa Negara mengumumkan kadar inflasi pada kadar 3.5%, antara lain harga makanan naik seperti kobis 29%, ikan kembung hitam 19.5%, sos cili 38.8% dan sardin 38%. Apa yang berlaku ialah wang tercipta apabila bank-bank komersial memberi pinjaman. Bank-bank ini membuat keputusan untuk meningkatkan kredit atau memberi pinjaman tanpa ambil kira kesan terhadap inflasi Negara.

Terlebihan ciptaan wang oleh pihak bank selalunya tidak terkejar oleh jumlah barang dan khidmat dalam sesebuah Negara. Kadar kenaikan jumlah wang selalunya jauh meninggalkan kadar kenaikan jumlah barang dan perkhidmatan mengakibatkan inflasi melarat dan inflasi kekal di dalam sesebuah Negara.

Oleh yang demikian kami di Gerakan Keadilan Monetari percaya penderitaan rakyat akibat pukulan inflasi tanpa henti dan tanpa reda ini, tidak akan dapat diselesaikan melainkan kerajaan dan cerdik pandai mengkaji semula sistem perbankan dan sistem monetari yang kita amalkan. Tidak semestinya perubahan drastik perlu dilakukan untuk selesaikan masalah seperti perubahan mengejut kepada sistem emas dan dinar. Walaupun ini hakikat matlamat terakhir penyelesaian.

Negara boleh mulakan langkah pertama dengan mengkaji semula untuk menarik balik kuasa ciptaan wang oleh sistem bank komersial. Perkara ini tidak lagi janggal malah kini merupakan gerakan islah sedunia untuk berhijrah dari sistem pincang yang diamalkan sekarang.

Sekretariat, Gerakan Keadilan Monetari.
Kuala Lumpur.