Kenyataan Akhbar dari Movement for Monetary Justice (MMJ)/ Gerakan Keadilan Monetari

Semalam Perdana Menteri telah membentangkan Bajet 2018. Movement for Monetary Justice (MMJ)/ Gerakan Keadilan Monetari mengambil perhatian bahawa dalam bajet tersebut defisit perbelanjaan ialah 2.8% berbanding GDP dengan jumlah RM39.8bil.

Ini bermakna kerajaan sudah 20 tahun berturut-turut berbelanja lebih dari pendapatan dan ini bermakna hutang terkumpul kerajaan akan meningkat lagi melebihi RM700 billion (tanpa mengira tanggungan kontingensi seperti jaminan kerajaan kepada tanggungan kewangan badan-badan milik kerajaan yang lain ).

Debt servicing (bayaran hutang kerajaan termasuk bunga) adalah RM30.8 billion setahun sekarang. Itu adalah jumlah yang banyak dan kebanyakkan adalah dalam bentuk tidak patuh Syariah. Bayaran hutang termasuk faedah yang semakin meningkat ini akhirnya terpaksa ditanggung oleh masyarakat umum juga melalui cukai, GST dsb. Masyarakat Islam harus menyuarakan ketidaksetujuan mereka kepada perkara ini. Ini juga jelas bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pentadbiran kerajaan adalah berlandaskan Syariah serta meningkatkan prestasinya dalam Indeks Shariah yang kerajaan sendiri telah bangunkan.

Akhir sekali MMJ mengambil perhatian bahawa kerajaan langsung tidak menyebut hasrat untuk menukarkan sistem monetarinya yang sekarang ini masih berpaksikan kepada sistem perbankan yang mencipta wang fiat setiap kali hutang dikeluarkan kepada pelanggan sama ada dari sektor kerajaan, swasta atau isi-rumah.

MMJ ingin menyatakan bahawa selagi sistem ini diamalkan, masalah ekonomi negara termasuk masalah pengangguran anak muda dan graduan, harga rumah yang melambung dan peningkatan kos sara hidup tidak akan dapat diselesaikan.

MMJ menyeru pihak kerajaan dan juga rakyat Malaysia supaya mengambil serius isu sistem monetari negara dan memastikan ianya benar-benar menepati ajaran Islam yang syumul dan sempurna demi kesejahteraan generasi akan datang di dunia dan akhirat.

https://www.facebook.com/monetaryjustice/