KENYATAAN RESMI GERAKAN KEADILAN MONETARI (MOVEMENT FOR MONETARY JUSTICE) TERHADAP POLISI POLISI EKONOMI KERAJAAN TERMASUK UNTUK MENGHADAPI GEJALA WABAK VIRUS WUHAN ATAU COVID19.

Terlebih dahulu Gerakan Keadilan Monetari memohon pihak Kerajaan, Cerdik Pandai Ekonomi dan rakyat menerima dua hakikat atau penemuan baru dalam ilmu Ekonomi.

Yakni yang pertama, didalam sesebuah negara, pencipta wang bukanlah bank pusat atau kerajaan, tetapi bank bank swasta. Didalam sesebuah Negara, kerajaan melalui Bank Pusat hanya mencipta purata 3% daripada keseluruhan jumlah wang Negara, yakni wang kertas dan syiling yang kita guna. Manakala purata 97% adalah wang yang dicipta oleh bank bank apabila mereka membuat pengeluaran pinjaman atau pembiayaan. DiMalaysia peratusannya adalah 5% dan 95%.

Duit yang dicipta oleh bank ini bukanlah dalam bentuk kertas atau syiling. Ia dalam bentuk nombor nombor yang tertera dalam akaun bank kita atau syarikat, apabila bank melulus sesuatu pinjaman atau pembiayaan. Dan apabila kita dan syarikat membuat bayaran melalui online, internet, pindahan antara bank / “interbank transfer”, buku cek, mesin ATM dan sebagainya kita tidak perlu wang ini dalam bentuk kertas dan syiling. Ia memadai dalam bentuk nombor-nombor yang boleh dipindah secara online. Inilah 95% wang dalam Negara ini yang diguna untuk pembangunan dan perbelanjaan.

Hakikat Bank sebagai pencipta wang telah disahkan kebenaran keujudannya oleh Bank of England, Bank Pusat Eropah and juga Federal Reserve. Sila rujuk kepada website kami di mmj.my untuk pembuktian hakikat ini. Gerakan Keadilan Monetari telah berkali kali cuba ketemu pihak Kerajaan untuk memberi penjelasan namun gagal. Suka dinyatakan Gerakan Keadilan Monetari bukan keseorangan didunia ini dalam memperjuangkan ilmu baru ini. Gerakan Keadilan Monetari kini merupakan ahli terbaru kepada Gerakan Sedunia yang dinama International Movement for Monetary Reform. Dibanyak Negara didunia ini sekarang wujud NGO-NGO saperti Gerakan Keadilan Monetari untuk memperjuang Reformasi Sistem Monetari Negara dan Antarabangsa.

Diantaranya ialah Positive Money dari UK, Positiva Pengar dari Sweden, Monetative dari Jerman, Gode Penge dari Denmark, Mouvement Monnaie Juste dari Perancis dan First Source Money dari Afrika Selatan. Semestinya kaedah penyelesaian anjuran Gerakan Keadilan Monetari Malaysia adalah berlandaskan kepatuhan kepada tuntutan Islam. Mengapa ia penting untuk memahami ilmu baru ini untuk sesebuah Negara termasuk Malaysia?

Sesuatu polisi ekonomi kerajaan bergantung penuh kepada andaian yang dipercayai dan diyakini oleh sipembuat polisi. Sekira pembuat polisi memiliki kepercayaan dan keyakinan yang salah mengenai suatu prinsip asas ekonomi, maka tersasar dan terpesonglah kesan polisi
tersebut dari apa yang hendak dicapai.

Sebagai contoh, ilmu ekonomi yang sedang diajar diuniversiti dan malah dipercayai oleh penentu polisi ekonomi Negara ialah, perlu wujud dahulu jumlah simpanan didalam sesebuah Negara sebelum boleh wujud pelaburan. Dalam bahasa Inggeris – “There must be savings before there is investments”. Apabila kita faham bahawa bank ialah pencipta wang, maka hakikat baru yang timbul ialah, pelaburan akan hanya terjadi dimana sahaja bank mencurahkan wang tersebut dan tidak bergantung kepada samada atau tidak wujudnya simpanan atau ‘savings’ sebelum pelaburan boleh wujud. Malah fahaman baru yang didokong oleh tokoh tokoh tersohor ekonomi dunia sekarang ialah pelaburanlah yang menghasilkan simpanan, bukan simpanan menghasilkan pelaburan.

Oleh yang demikian polisi tepat untuk mendapat hasil terbaik untuk polisi ekonomi Negara ialah keupayaan kerajaan dapat menghala dan mengawal sumber bekalan wang (”money hose”) ini dihala kepada industri-industri dan sektor sektor yang terbaik untuk Negara. Semestinya ia sektor ekonomi sebenar, saperti sektor IKS, sektor pembuatan dan sektor pertanian, dan bukan sektor hutang peribadi dan kad kredit yang digemari bank. Ternyata pinjaman daripada bank bank sekarang, 80% dihala kepada pinjaman peribadi, kad kredit dan perumahan. Adalah lebih baik pinjaman bank dihalakan kepada ekonomi sebenar yang akan menghasil pekerjaan dan meningkat pengeluaran ekonomi.

Gerakan Keadilan Monetari mengajak kepada suatu anjakan paradigma masyarakat dengan bertanya suatu soalan. Haruskah kita serahkan kepada badan swasta suatu amanah teramat penting dalam sebuah Negara saperti penciptaan wang? Kita telah diserahkan hak ini secara sedar atau tidak sedar kepada bank bank swasta.

Sila rujuk kepada website kami di mmj.my untuk solusi solusi yang telah kami utarakan untuk menangani masaalah ini. Berbalik kepada wabak virus Wuhan atau Covid19 ini diantara langkah yang diutamakan kerajaan melalui Bank pusatnya ialah menambah kecairan dengan
menurunkan kadar faedah.

Soalan pertama ialah adakah pengambilan pinjaman oleh syarikat bergantung kepada tinggi rendah kadar faedah. Banyak kajian telah dibuat yang menyangkal andaian ini; syarikat membuat pinjaman berdasar keperluannya, yang tiada kaitan tinggi rendah faedah.

Tetapi soalan yang lebih relevan ialah adakah industri hutang penyelesai masaalah atau punca segala masaalah? Didalam Pandangan Alam Islam atau “Islamic Worldview” hutang bukan komponen dalam pembangunan sesebuah ekonomi Negara Islam. Hanya satu kaedah hutang yang diiktiraf Islam yakni hutang Qardhul Hassan, hutang tanpa faedah untuk membantu orang susah. Yang lain-lain nya saperti Murabahah dan sebagainya ialah amalan biasa jual beli orang Islam berniaga, dan tidak cocok dijadikan paksi industri hutang ; industri yang ramai penuh sangsi keIslamannya.

Hutang tidak sepatutnya menjadi sebuah industri. Ekonomi sebuah Negara Islam harus berpaksi dan dijenterai oleh ekuiti saperti Musyarakah dan Mudharabah sesuai dengan Qaiddhah Fiqhiyyah, AlGhunum bi Alghurm – Laba bersama risiko. Yakni seorang Muslim tidak berhak mendapat laba melainkan sanggup menghadapi risiko.

Keengganan sesebuah Negara untuk berpindah paradigma dari hutang kepada ekuiti berkait rapat dengan legasi turun temurun pendidikan sumber Barat yang kita telah terima yang telah mencengkam minda umat hingga ke masakini. Gerakan Keadilan Monetari tertarik juga dengan Kenyataan Menteri Kewangan baru bahawa kerajaan sanggup struktur semula pinjaman kepada syarikat IKS membenarkan mereka tidak membuat apa apa bayaran dalam tempoh kemelut Corona Virus ini. Ini bermaksud “hutang tetap hutang dan mungkin ditambah
lagi jumlahnya tetapi kami benarkan tuan tuan untuk tidak membuat bayaran untuk sementara waktu.”

Kenyatan ini menggambar contoh penyelesaian minda tercengkam yang dinyata diatas. Seharusnya jawapan Kementerian Kewangan ialah demi membantu syarikat IKS, Kerajaan sanggup mengubah pembiayaan hutang itu kepada pembiayaan ekuiti, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, sesuai dengan tema kerajaan perihatin yang dicanang sekarang. Sekiranya timbul pelbagai keraguan dalam minda YB Menteri Kewangan kita untuk pindah dari hutang kepada ekuiti, Gerakan Keadilan Monetari in sya Allah sanggup membantu beliau kerana kami telah lama memiliki penyelesaiannya.

Izinkan kami duduk dengan pihak pembuat dasar untuk perbincangan.

Terima kasih.
Sekretariat,
Gerakan Keadilan Monetari,
Kuala Lumpur.
monetaryjustice@gmail.com
Jumaat 20hb Mac 2020.