Malapetaka Ekonomi Argentina – Angkara Industri Hutang, Pemerintahan Tentera Yang Zalim, Pemimpin Yang Korup dan Kealpaan Rakyat

by Sep 10, 2017Malay0 comments

Malapetaka Ekonomi Argentina – Angkara Industri hutang, pemerintahan tentera yang zalim, pemimpin yang korup dan kealpaan rakyat

Prof Mohd Nazari Ismail
Biro Penyelidikan IKRAM

Pada penghujung abad ke-19 sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama, ekonomi negara Argentina adalah antara yang terkukuh di dunia. KDNK nya melonjak pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6 peratus iatu satu kadar pertumbuhan ekonomi yang paling cepat pada masa itu. Kadar pertumbuhan yang memberangsangkan ini membolehkan Argentina menjadi di kalangan 10 negara terkaya di dunia pada masa itu. Bahkan Argentina adalah lebih kaya dari segi pendapatan berbanding Perancis, Itali dan juga Jerman. Pada masa itu, Argentina mempunyai pendapatan per kapita 50 peratus lebih besar daripada Itali, dan hampir dua kali ganda daripada Jepun. [1]

Antara industri yang menyumbang kepada pendapatan nya ialah pertanian, khususnya sektor daging lembu, gandum dan hasil-hasil ladang yang lain yang dijalankan oleh tenaga kerja yang berpendidikan. Kebanyakan ekspotnya adalah ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Malangnya kebergantungan kepada pasaran Amerika dan Eropah mengakibatkan ekonomi Argentina merosot teruk apabila Amerika dan Eropah dilanda krisis ekonomi `The Great Depression’ di antara tahun 1929 sehingga 1939. Ekspot Argentina telah menjunam dan akibatnya sumber pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai ekspot dan impot juga menjunam.
Keadaan ekonomi yang teruk seterusnya telah mengakibatkan krisis politik yang serius di Argentina sehingga bermulalah satu era baru di negara tersebut di mana pihak tentera telah campur tangan dengan aktif dalam pentadbiran negara. Ianya dimulai dengan rampasan kuasa oleh General José Félix Uriburu yang menggulingkan presiden Hipólito Yrigoyen pada 6 September 1930. Seterusnya akibat dari keadaan ekonomi yang sentiasa tidak stabil, telah berlaku lima lagi rampasan kuasa oleh tentera iaitu pada tahun 1943, 1955, 1962, 1966 and 1976.

Pada tahun 1950an, Argentina telah ditadbir oleh Presiden Juan Peron, pemimpin populis yang mendapat sokongan dari golongan miskin dan pekerja. Mereka mendapat banyak manfaat dan kesatuan pekerja juga sangat berpengaruh. Ekonomi berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Namun sistem perbankan yang diamalkan di Argentina juga mula menunjukkan kesan negatif yang semakin teruk. Inflasi melambung naik menjadi 40 peratus dan rakyat merana.
Di peringkat dunia, sistem kewangan riba yang diamalkan di merata tempat membolehkan aktiviti spekulasi dalam berbagai sektor termasuk komoditi makanan. Oleh itu ada kalanya harga naik mendadak dan ada kalanya ia turun dengan cepat juga. Di hujung pentadbiran Peron, harga komoditi telah jatuh teruk dan akibatnya sektor pertanian Argentina juga terkesan teruk. Di samping itu, polisi Peron memiliknegarakan industri kereta api dan beberapa aset lain yang sebelum itu dimiliki oleh British menimbulkan kemarahan ahli-ahli perniagaan. Akibatnya kadar pelaburan di Argentina juga merosot.

Golongan pekerja sengsara dan melancarkan mogok umum. Pada tahun 1955 tentera Argentina mengambil alih kuasa dan Peron dibuang negara. Pemimpin yang mengambil alih kuasa tidak faham bahawa di dalam sistem ekonomi yang berpaksikan kepada sistem di mana institusi perbankan berkembang pesat dan hutang meningkat dengan cepat, masalah ekonomi seperti inflasi dan hutang kerajaan yang meningkat mustahil diselesaikan. Ekonomi juga menjadi tidak stabil. Sebagai contoh, selepas Peron dijatuhkan, purata kadar gaji telah naik 400 peratus tetapi kos makanan telah meningkat 750 peratus.[2] Oleh itu tidak hairanlah ekonomi Argentina terus tidak stabil sama ada di bawah kerajaan tentera atau kerajaan demokratik.

Pada tahun 1978, Argentina telah memenangi buat pertama kalinya pertandingan bolasepak Piala Dunia dan rakyatnya sangat gembira dan berbangga. Namun rakyat Argentina tidak sedar bahawa semenjak awal tahun 1976, masalah inflasi negara mereka telah bertambah teruk dan telah meningkat ke tahap 600 peratus. Mereka juga gagal menyedari bahawa hutang luar negara Argentina juga sedang meningkat dengan cepat. Akibatnya kos kehidupan meningkat sementara kerajaan pula tidak berkemampuan untuk membantu rakyat. Kemelut ekonomi pada masa ini mengakibatkan pihak tentera merampas kuasa sekali lagi. Namun pemerintah tentera juga tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat yang tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut telah memprotes. Malangnya kerajaan tentera telah bertindak ganas terhadap pengkritik yang kebanyakannya adalah dari kalangan yang berhaluan kiri. Ramai dari pemimpin dari kalangan ini telah dibunuh oleh pemerintah tentera dengan kejam. Fasa ini dikenali sebagai `Perang Kotor’ atau Dirty War. Dianggarkan 30,000 rakyat Argentina telah `hilang’ tanpa diketahui sebab dan nasib mereka. Tetapi ada laporan mengatakan bahawa ramai yang telah menjadi mangsa `penerbangan maut’ di mana mereka telah dibawa naik dalam kapalterbang dan kemudian dibunuh dengan cara dibuang ke lautan Atlantik.

Namun walaupun kerajaan Argentina diketahui melakukan begitu banyak keganasan dan kezaliman terhadap rakyatnya, bank-bank antarabangsa terus memberi pinjaman kepada kerajaan Argentina. Bahkan ada yang berpendapat bahawa dana kewangan hutang yang banyak itulah yang telah membantu mengekalkan kuasa pemerintahan tentera yang zalim itu dengan sokongan kerajaan Amerika.[3]

Sementara itu rakyat semakin tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing. Untuk mengalihkan perhatian rakyat yang sedang marah, pada tahun 1982, pmerintah tentera di bawah pimpinan General Galtieri melancarkan serangan ke atas Kepulauan Falkland, iaitu sebuah tanah jajahan British yang didakwa dimiliki oleh Argentina dan dipanggil Malvinas oleh mereka. Britain kemudiannya telah menyerang balas dan tentera Argentina telah ditewaskan dengan mudah. Semenjak itu, pengaruh tentera menjadi lemah dan tiada lagi campur tangan di dalam politik negara dan era demokrasi kembali hidup di Argentina.

Pada tahun 1983, Raul Alfonsin telah dilantik menjadi Presiden. Namun sistem ekonomi yang berpaksikan kepada industri hutang terus berkembang dan akibatnya rakyat terus sengsara. Di bawah Presiden Raul Alfonsín, pendapatan kerajaan tidak meningkat. Oleh itu, kerajaan terpaksa berhutang untuk memastikan gaji penjawat awam dapat dinaikkan.

Argentina sekali lagi menjuarai pertandingan bolasepak Piala Dunia pada tahun 1986 dan bintang bola sepak Diego Maradona menjadi kebanggaan semua rakyat Argentina. Keadaan ini membuatkan mereka leka dari masalah ekonomi yang terus meruncing. Pada tahun 1989, inflasi telah mencapai kadar 5000 peratus. Keadaan sosial menjadi gawat dengan tunjuk perasaan berlaku di sana sini. Banyak pasar raya yang diserbu oleh perusuh yang lapar akibat kemiskinan hidup.

Presiden Carlos Menem mengambil alih kuasa pada tahun 1989 dan yakin dapat mengatasi masalah ekonomi negara dengan melaksanakan polisi neo-liberal. Beliau telah menggalakkan kemasukan pelaburan asing, menurunkan tarif import, dan menswastakan syarikat milik kerajaan yang tidak efisien. Pada masa itu kadar inflasi telah jatuh kepada digit tunggal dan Argentina telah dinobatkan sebagai negara contoh dari segi pengamal pasaran bebas oleh Tabung Kewangan Antarabangsa IMF dan juga institusi-institusi kewangan yang lain. Hal ini tidak menghairankan kerana kerajaan Argentina juga pada masa ini sudah sangat banyak berhutang dari institusi kewangan dari luar negara yang kebanyakannya adalah dari Amerika Syarikat.

Tetapi akibat dari keadaan hutang serta kadar inflasi yang tinggi, Kerajaan Argentina telah memutuskan untuk menambatkan matawang Peso Argentina kepada dolar Amerika Syarikat. Ini bertujuan untuk mengurangkan inflasi dan memastikan import menjadi lebih murah melalui kenaikan mata wang Peso Argentina. Namun walaupun kenaikan nilai Peso diperlukan, langkah menambatkannya kepada dolar AS adalah satu kesilapan kerana apa yang telah berlaku ialah keadaan terlebih nilai (overvaluation) matawang Peso berbanding matawang asing yang lain. Akibatnya harga produk Argentina menjadi mahal berbanding dari negara lain di pasaan antarabangsa dan memberikan kesan yang buruk kepada eksport Argentina.

Pada akhir 1990-an Argentina telah menghadapai keadaan kemelesetan ekonomi yang serius dengan kadar pengangguran yang hampir 15 peratus. Kutipan cukai oleh kerajaan menurun akibat dari keadaan ini. Disamping itu Argentina juga menghadapi masalah lain seperti rasuah dan ini telah menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan dan oleh itu peningkatan dalam hutang kerajaan.[4] Yang anihnya pada masa ini pihak IMF masih merasakan bahawa polisi Argentina berhutang dengan banyak kepada institusi kewangan antarabangsa adalah bukannya sesuatu yang membahayakan masa depan negara tersebut.[5] Namun apabila ekonomi dunia pada akhir 1990-an juga mengalami kemelesetan, ia telah memberi kesan yang amat buruk kepada ekonomi Argentina yang sudah pun dalam keadaan yang tenat. Akibatnya pada tahun 1998, ekonomi Argentina telah mengecut sebanyak kira-kira 28 peratus. [6]

Keadaan ekonomi Argentina yang terus merosot dan hutang luar yang sangat tinggi menakutkan pelabur-pelabur yang bimbang akan kemampuan kerajaan Argentina membayar balik hutangnya. Rasuah juga menjadi bertambah teruk dan Carlos Menem sendiri mempunyai reputasi sebagai pemimpin yang korup. Pentadbiran Menem berakhir pada tahun 1999 semasa keadaan ekonomi Argentina cukup tenat. Tambahan pula ia juga terkesan akibat dari krisis kewangan di Asia Timur pada tahun 1997 dan krisis kewangan Rusia pada tahun 1998. Pemilik modal telah tergesa-gesa keluar dari Argentina dengan menjual matawang peso dan menukarnya kepada Dolar Amerika. Namun pihak berkuasa Argentina mahu melindungi rezab dolarnya dan pada penghujunag tahun 2001 telah membekukan pengeluaran dolar Amerika dari bank. Polisi yang terkenal dengan nama `Corralito’ ini membuat rakyat marah dan rusuhan teruk telah berlaku yang mengakibatkan puluhan nyawa terkorban. Polisi menambat matawang kepada dolar yang Menem gunakan untuk menjinakkan inflasi akhirnya tidak lagi dapat dipertahankan. Pihak berkuasa Argentina membuat keputusan menurunkan nilai Peso. Selepas itu ianya dibiarkan bergerak bebas dan akibatnya nilai Peso terus menjunam. Susulan dari itu kos barangan impot menjadi mahal dan inflasi melonjak naik dan membuat lebih ramai rakyat menderita.

Pada tahun 2001, Argentina telah mengalami situasi `default’ yakni tidak dapat membayar hutangnya kepada pemiutang antarabangsa pada masa dan dalam jumlah yang dijanjikan. Ini adalah satu tamparan hebat kepada imej negara Argentina. Namun satu aspek yang tidak disedari oleh ramai pihak ialah hutang Argentina yang tidak dapat dibayar oleh kerajaannya telah dibeli oleh sebuah syarikat tabung kewangan (Hedge fund) pada harga yang murah dari pemiutang asal Argentina dengan diskaun yang banyak. Syarikat yang bernama NML itu adalah anak syarikat kepada sebuah kewangan Amerika bernama Elliott Management. Apabila Argentina cuba untuk mencapai persefahaman untuk menyelesaikan masalah hutangnya dengan semua pemiutang, kebanyakan dari mereka telah bersetuju untuk dibayar pada jumlah yang dikurangkan dari jumlah hutang asal. Namun NML dan beberapa pemiutang lain telah tidak bersetuju (istilah yang digunakan ialah `hold out’) dan sebaliknya menyaman kerajaan Argentina untuk mendapat bayaran penuh di sebuah mahkamah di New York court, tempat asal di mana institusi- institusi kewangan yang terlibat telah mengadakan perjanjian asal untuk memberi pinjaman kepada Argentina .

Kerajaan Argentina pada masa itu telah bersetuju untuk membayar kumpulan pemiutang yang telah bersetuju dengan terma persetujuan baru di mana Argentina akan membayar balik hanya sebahagian dari jumlah hutang asal dan tidak kepada NML dan beberapa pemiutang lain yang telah tidak menerima terma baru. Namun mahkamah di New York yang membicarakan saman dari NML telah membuat keputusan yang berpihak kepada NML dan oleh itu telah menyekat Argentina dari melaksanakan perjanjian yang mengandungi terma baru dengan kumpulan pemiutang yang sanggup menerima sebahagian saja dari hutang asal Argentina. [7]

Akibat dari kegagalan melaksanakan persetujuan baru dengan pemiutangnya, Argentina telah dipinggirkan dari pasaran kewangan dunia. Ekonomi Argentina terus merosot di mana kadar pengangguran nya telah meningkat melebihi 20 peratus. Di samping itu masalah kebuluran dan kelaparan dan kekurangan zat makanan berleluasa walaupun sebenarnya negara berkenaan mempunyai ladang gandum dan soya yang banyak. Rusuhan dan rompakan yang merebak ke ibukota Argentina yang sedang mengalami krisis politik telah memaksa Fernando de la Rua, meletak jawatan. Krisis politik Argentina pada waktu itu begitu teruk sehinggakan jawatan presiden telah disandang lima individu dalam masa dua minggu.[8]

Penguncupan ekonomi Argentina sehingga sebanyak 20% telah menyebabkan ribuan anak muda berhijrah ke Eropah untuk mencari rezeki. Kerajaan juga telah gagal menjelaskan hutang sebanyak lebih daripada $ 100 bilion yang merupakan kes kegagalan membayar hutang (default) yang paling besar di dunia pada masa itu.[9]

Rakyat yang lapar merasa bingung kerana banyak ladang mengeluarkan bijirin makanan. Namun kebanyakan dari bijirin tersebut disekspot keluar oleh pengusaha. Pada tahun 2008, kerajaan menaikkan cukai eskpot ke atas keluaran pertanian dari 35% menjadi 44%. Tujuan langkah itu adalah untuk menambahkan sumber kewangan kerajaan dan juga untuk mendapat sokongan rakyat miskin yang menderita. Ini membuat pengusaha pertanian berang kerana polisi tersebut memberi kesan negatif kepada perniagaan mereka. Tambahan pula, ramai dari pengusaha ini yang berhutang dengan industri perbankan dan perlu membayar balik hutang tersebut melalui pendapatan yang diperolehi dari ekspot ke luar negara.

Pada tahun 2012, pemiutang NML yang telah membeli hutang Argentina dari pemiutang asal pada harga yang murah pada tahun 2001 dan kemudiannya berdegil tidak mahu menerima terma baru dalam persetujuan untuk menyelesaikan hutang Argentina telah melaksanakan satu langkah yang sangat radikal untuk memaksa Argentina menyelesaikan hutangnya. NML mendapat maklumat bahawa kapal tentera laut Argentina bernama `ARA Libertad’ yang mempunyai 325 kelasi sedang berlabuh di Port Tema di Ghana. Pada 1 Oktober 2012, ia telah mendapat satu perintah dari sebuah mahkamah di Ghana untuk menyekat kapal tersebut dari belayar keluar selagi Argentina tidak menjelaskan hutangnya kepada NML. Kapal tersebut yang sepatutnya belayar pada 4 Oktober 2012 oleh itu telah disekat oleh tentera Ghana. Walaupun selepas beberapa bulan sebuah Tribunal PBB akhirnya membuat keputusan membenarkan kapal itu dipulangkan kepada Argentina, namun bukan sahaja maruah Argentina telah dijatuhkan bahkan kos tambahan terpaksa ditanggung dari aspek perundangan serta untuk membawa balik kelasi kapal ke Argentina. Menurut laporan, susulan dari kejadian itu, Presiden Cristina Kirchner tidak lagi berani menggunakan kapalterbang rasmi Presiden keranan bimbang NML atau pemiutang lain akan juga berusaha untuk merampas kapalterbang tersebut. Bahkan beliau terpaksa menyewa kapalterbang swasta pada kos yang 20% lebih tinggi berbanding menggunakan kapalterbang rasmi kerajaan untuk terbang ke luar negara.[10]

Ekonomi negara Argentina masih tenat sehingga ke hari ini. Kerajaan Argentina di bawah Presiden Cristina Kirchner yang mentadbir dari tahun 2007 sehingga 2015 gemar menipu dan tidak mengakui kesahihan data-data ekonomi yang menunjukkan prestasi ekonomi negara yang teruk. Beliau juga mempunyai reputasi sebagai pemimpin yang korup dan oleh itu tidak hairanlah kerajaan beliau tidak berjaya menyelesaikan masalah. Di samping itu beliau juga melaksanakan polisi yang membuat keadaan lebih teruk seperti polisi kawalan modal, menggunakan rezab matawang asing untuk perbelanjaan kerajaan, dan menggunakan bank pusat untuk mengeluarkan matawang dengan banyak untuk membiayai perbelanjaan kerajaan. Kegagalan beliau dalam mengurus ekonomi Argetina dengan baik menjadi lebih jelas apabila harga komoditi di pasaran dunia jatuh dan ekspot Argentina terjejas teruk.[11]

Polisi kerajaan di bawah Presiden Mauricia Macri yang memerintah semenjak tahun 2015 ialah menghormati mekanisma pasaran dan tidak menipu dari segi maklumat ekonomi. Beliau memberhentikan polisi kawalan matawang dan menghapuskan subsidi elektrik, air, gas dan pengangkutan. Kesan dari polisi tersebut adalah kenaikan kos kehidupan. Tetapi pada bulan February 2016, Macri telah memenuhi janjinya untuk memperbaiki hubungan Argentina dengan institusi kewangan antarabangsa dan telah mengadakan persetujuan dengan pemiutang-pemiutang yang lepas. Tujuan beliau memilih pendekatan ini ialah untuk memudahkan beliau memperolehi lebih banyak dana hutang dari pasaran kewangan antarabangsa di masa hadapan. Menurut satu laporan, persetujuan tersebut telah mengakibatkan beberapa pemiutang lama mendapat untung besar. Sebagi contoh, NML Capital mendapat separuh dari jumlah yang dipersetujui iaitu $2.28 billion. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar berbanding dengan pelaburan asalnya dalam membeli hutang Argentina pada harga hanya $177 juta. Dalam erti kata lain kadar pulangan kepada NML capital ialah 1,180 peratus.[12]

Sementara itu, pada bulan Jun 2016, harga barangan meningkat 4.2% dalam masa satu bulan sahaja. Ini bermakna inflasi semakin teruk di Argentina. Dalam erti kata yang lain, keadaan ekonomi Argentina dalam jangka panjang tetap malap. Tetapi kerajaan Argentina merasakan bahawa mereka akan dapat mengatasi masalah akan datang dengan menggunakan dana hutang yang sekarang lebih mudah diperolehi berbanding dahulu. Jelas bahawa Argentina masih tidak serik dengan bahaya hutang dari sumber asing, walaupun rakyat Argentina telah hidup dalam keadaan sengsara selama puluhan tahun sebelum ini akibat dari ketidakupayaan membayar hutang dari sumber asing. Oleh itu, jelas juga kepada kita semua bahawa amalan berhutang ini adalah seolah seperti masalah ketagihan dadah. Walaupun diketahui akan mudaratnya, namun keinginan memperolehinya amat kuat sekali dan boleh mengatasi kebimbangan tentang mudarat yang akan dihadapi dalam jangka panjang.

Apakah pengajaran utama yang dapat dirumuskan dari kisah Argentina?

Pertama ialah jika sistem ekonomi dan kewangan adalah bersandarkan kepada sistem Riba dan industri hutang, maka ekonomi negara lambat laun akan bertambah teruk dan rakyat akan sengsara walaupun negara mempunyai banyak hasil mahsul.

Kedua, rampasan kuasa oleh tentera atau apa-apa langkah yang tidak demokratik bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan akan membuka ruang kepada kezaliman yang membuat rakyat lebih sengsara.

Ketiga, pemimpin yang tidak bercakap benar atau suka menipu dan beramal dengan rasuah akan membuat keadaan bertambah teruk.

Akhir sekali, jika negara berjaya dalam arena sukan, rakyat mungkin akan disibukkan dengan isu sukan, dan lebih senang menjadi mangsa manipulasi pemimpin yang korup.

[1] http://www.worldfinance.com/special-reports/a-history-of-economic-trouble-in-argentina

[2] http://www.columbia.edu/~lnp3/mydocs/state_and_revolution/Juan_Peron.htm

[3] https://sunlightfoundation.com/2016/05/02/influence-abroad-american-vulture-funds-feed-on-argentinas-debt-crisis/

[4] http://www.worldfinance.com/special-reports/a-history-of-economic-trouble-in-argentina

[5] https://sunlightfoundation.com/2016/05/02/influence-abroad-american-vulture-funds-feed-on-argentinas-debt-crisis/

[6] https://sunlightfoundation.com/2016/05/02/influence-abroad-american-vulture-funds-feed-on-argentinas-debt-crisis/

[7] https://sunlightfoundation.com/2016/05/02/influence-abroad-american-vulture-funds-feed-on-argentinas-debt-crisis/

[8] Kelima-lima mereka adalah Fernando de la Rua, Ramon Puerta, Adolfo Rodriguez Saa, Eduardo Camaño, dan Eduardo Duhalde.

[9] http://www.nytimes.com/2008/07/06/world/americas/06argentina.html?mcubz=1

[10] Ibid.

[11] http://www.worldfinance.com/special-reports/a-history-of-economic-trouble-in-argentina

[12] https://sunlightfoundation.com/2016/05/02/influence-abroad-american-vulture-funds-feed-on-argentinas-debt-crisis/