RESPON GERAKAN KEADILAN MONETARI MALAYSIA / MOVEMENT FOR MONETARY JUSTICE MALAYSIA (MMJ) TERHADAP BELANJAWAN 2021

Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 yang jelas merupakan suatu belanjawan yang prihatin berpaksikan Rakyat. Ia berkemungkinan juga digelar suatu belanjawan pilihan raya.

Perintah kawalan pergerakan yang terpaksa dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membendung penularan Covid19 telah melenyapkan sebilangan besar kecairan dalam ekonomi menyebabkan kesusahan dan kemelesetan ekonomi yang meluas, yang masih dihadapi negara sekarang ini. Disebabkan senario ini, Belanjawan 2021 telah dijangka sebuah belanjawan defisit, namun yang terbesar dalam sejarah Malaysia, iaitu RM322.5 bilion dengan jangkaan pendapatan Kerajaan hanya RM236.9 bilion.

Apa yang secara asasnya diperlukan untuk mengurangkan kesan situasi ini secara keseluruhannya ialah Kerajaan harus menyuntik kecairan yang cukup ke dalam ekonomi untuk meningkatkan aktiviti perniagaan; menyantun rakyat dari segi ekonomi dan psikologi serta memastikan setiap individu dapat mengakses keperluan ekonomi dengan mudah, seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan utiliti (air, elektrik dan telekomunikasi). Pada pendapat kami, belanjawan tersebut benar-benar merangkumi semua ini dengan secukupnya.

Adalah sangat jelas bahawa banyak keriangan telah dimasukkan ke dalam belanjawan tersebut untuk Rakyat. Pengurangan cukai pendapatan sebanyak 1 peratus bagi individu pemastautin sangat dialu-alukan. Pemberian bantuan untuk orang miskin dan rentan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang baru dapat membantu ekonomi pulih lebih cepat, dan oleh itu sangat dialu-alukan. Peminjam B40 dan perusahaan mikro dibantu dengan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) termasuk moratorium pinjaman yang dilanjutkan dan lain-lain bantuan. Namun, Gerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ) mendesak Kerajaan untuk menghapus keseluruhan faedah dari semua hutang awam dan swasta, yang sememangnya suatu langkah luar biasa, untuk mengatasi masalah ekonomi yang luar biasa. Dalam aspek ini, peruntukan belanjawan sebanyak RM400 juta untuk membantu peneroka FELDA melupus faedah pinjaman mereka sangat kami sanjungi.

Wabak Covid19 juga telah menyebabkan penderitaan psikologi yang banyak terhadap Rakyat. Sewajarnya, RM24 juta telah diperuntukkan untuk menangani kesihatan mental Rakyat. Namun pada pendapat kami, jumlah ini mungkin terlalu rendah kerana masalah psikologi berkemungkinan besar memuncak pada tahun 2021 disebabkan kesan yang ditinggalkan akibat pandemik akan terus muncul. Sekurang-kurangnya RM50 juta harus diperuntukkan untuk tujuan ini mengikut pandangan kami.

Pembangunan ekonomi sememangnya adalah pembangunan manusia. Dalam hal ini, pendidikan dan kesihatan sangat penting. Belanjawan telah menguruskan kedua-duanya dengan mencukupi. Kementerian Pendidikan diberikan peruntukan terbesar sebanyak RM50.4 bilion (15.6 peratus daripada jumlah perbelanjaan). Peruntukan untuk Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan, MySTEP, program reskilling dan upskilling merupakan usaha terpuji. Begitu juga hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pendidikan TVET sangat dipuji kerana ekonomi dikembangkan melalui pelbagai kemahiran yang dimiliki oleh rakyatnya. Peruntukan untuk penyediaan dan peningkatan pendidikan prasekolah juga dipuji kerana di sini perwatakan dibentuk.

Untuk memperkasakan usahawan Bumiputera, sejumlah RM4.6 bilion telah diperuntukkan. Bantuan tersebut juga harus diberikan kepada usahawan bukan Bumiputera yang memerlukan bantuan tersebut, kerana penyediaan kecairan seperti ini kepada perniagaan akan meningkatkan kesejahteraan ekonomi semua samada secara langsung atau tidak langsung.

Secara keseluruhannya kami memuji Belanjawan 2021. Namun, berikut adalah senarai harapan MMJ agar kita dapat lebih mengecapi kemakmuran, keamanan dan keselamatan yang berterusan bagi setiap rakyat Malaysia.

Satu bidang yang kami ingin melihat Kerajaan memberi penekanan yang lebih berat adalah terhadap keselamatan makanan negara. Pandemik ini telah menimbulkan isu keselamatan makanan apabila beberapa negara dari mana kita mengimport makanan menghentikan pengeksportan hasil mereka, menyebabkan kenaikan harga secara mendadak. Malaysia adalah sebuah negara pengimport makanan tidak seperti negara jiran kita Thailand dan Indonesia yang banyak mengeksport makanan. Walaupun Belanjawan memperuntukkan dana untuk pembangunan sektor Pertanian, pada pendapat kami ianya tidak mencukupi. Teknik pertanian moden setaraf dengan negara maju harus dijadikan sasaran. Kementerian Pertanian benar-benar mampu membawa pertanian ke tahap yang sepatutnya. Penternakan haiwan berasaskan teknologi, akuaponik berskala besar, pertanian menegak dan yang seumpama dengannya harus dititikberatkan dan dikejar secara agresif. Keselamatan makanan nasional harus difokuskan dengan keutamaan, dan bukan hanya demi pendapatan petani tempatan. Dengan kata lain, petani tempatan harus dipersiapkan untuk menjadi petani terdidik dan menjadi petani yang lebih moden kerana apa yang dipertaruhkan adalah keselamatan makanan negara.

Bidang lain yang kami lihat kurang adalah pada bidang pembangunan lestari, seperti penghutanan semula dan pengurusan sisa. Kayu lestari harus didorong dan diberi beberapa insentif belanjawan. Penghutanan semula menggunakan buluh atau paulownia, misalnya, adalah menarik dalam aspek ini. Mempromosi teknik pengurusan sisa pepejal perbandaran (MSW) yang maju seperti kitar semula, penggunaan semula dan lain-lain sepatutnya telah dimasukkan dalam belanjawan.

Perkara terpenting yang ingin kami lihat ialah Kerajaan mengisytiharkan Penghapusan/Jubli Hutang (debt jubilee), iaitu menghapus faedah semua pinjaman, awam dan swasta. Perincian pelaksanaannya boleh diartikulasikan setelah keputusan dibuat. Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang diperkenalkan baru-baru ini, memberikan pengecualian atau pelepasan kepada individu yang tidak dapat memenuhi kewajipan kontrak mereka seperti pembayaran sewa dll akibat dari wabak Covid19. Penyelesaian hutang sememangnya akan menjadi masalah besar pada tahun 2021 dan oleh itu kami meminta pembatalan faedah dari semua hutang di negara ini. Dalam hal ini juga, kami menyeru Kerajaan membatalkan tunggakan sekitar 50% cukai perniagaan. Ini adalah untuk memberi ruang kepada perniagaan bagi memberi peluang kepada mereka untuk berdiri, memeriksa balik keadaan kendiri dan maju ke hadapan selepas Covid19, jika tidak, mereka akan terbelenggu untuk membayar tunggakan cukai masa lalu di waktu perniagaan baru hendak pulih.

Terakhir, Belanjawan 2021 boleh mencakup lebih banyak pembangunan modal sosial, iaitu untuk meningkatkan kerohanian Rakyat, memupuk keamanan dan keharmonian kaum di negara ini.

Setelah menyatakan semua perkara di atas, pembiayaan belanjawan defisit pasti akan menjadi masalah dari segi sumber dana. Melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020, Kerajaan telah meningkatkan had statutori hutang untuk sementara hingga 60 peratus dari KDNK, dari 55 peratus sebelumnya, untuk membolehkan pinjaman tambahan oleh Kerajaan bagi membiayai belanjawan. Kami berpendapat bahawa Kerajaan tidak perlu mengambil langkah meminjam kerana ini hanya akan membebankan Rakyat di masa akan datang dalam bentuk cukai, levi dan sebagainya yang lebih tinggi. Malah, pinjaman dalam negeri pun akan melebarkan jurang miskin kaya di negara ini kerana golongan kaya yang membeli bon kerajaan atau sukuk akan mendapat ganjaran pendapatan melalui faedah atau dividen, sementara rakyat biasa terbeban menanggung pembiayaan pemulihan ekonomi ini.

Kami sarankan langkah-langkah berikut untuk membantu meningkatkan pendapatan kerajaan. Pertama, Kerajaan harus menyedari bahawa ianya mempunyai hak asas mencipta wang dalam negara. Negara maju seperti AS menggunakan hak tersebut untuk menyuntikkan kecairan ke dalam ekonomi, yang mereka sebut Peringanan Kuantitatif. Untuk tujuan ini, kami mencadangkan reformasi Sistem Monetari dalam bentuk Wang Sovereign (Sovereign Money), berganding penghapusan hak penciptaan wang oleh bank bank swasta. Namun sebagai langkah awal menuju tujuan ini, kami mencadangkan pembentukan sebuah Bank Malaysia yang baru, yang dimiliki oleh kerajaan dan dikawalrapi oleh parlimen, dengan kemampuan seiringan mengendali akaun semasa dan memberi pembiayaan. Tidak seperti bank komersil masakini yakni pencipta wang swasta yang terlebih tumpu keuntungan kendiri, mengaut untung diatas derita rakyat melalui banjiran pinjaman peribadi dan perumahan, Bank Malaysia akan memberi tumpuan hanya kepada pembiayaan ekonomi sebenar, sektor PKS, dan pembiayaan kerajaan yang akan meningkatkan ekonomi dalam situasi seperti masakini yang dijejas Covid 19. Melalui beberapa perubahan teknikal tertentu kami jangka, pembiayaan kepada sektor PKS ini boleh juga menghujani pekerjaan-pekerjaan baru bagi menyerap semua pengangguran belia dan siswazah masakini.

Kedua, Kerajaan seharusnya secara beransur-ansur menuju ke arah wang digital 100%. Dalam sistem seperti ini, penipuan, rasuah, penyelewengan dana, pengelakan cukai dan lain-lain akan menjadi sangat sukar. Ini akan meningkatkan pendapatan kerajaan dengan banyak sekaligus meningkatkan ketelusan dan tata kelola. Ketiga, Kerajaan harus menjalankan sistem pembayaran dan netting di seluruh negara. Bahkan bayaran transaksi yang minima akan dapat memberikan Kerajaan pendapatan yang besar. Dengan tindakan seperti ini, kadar cukai juga dapat diturunkan ke tahap yang lebih rendah.

Keempat, untuk meningkatkan lagi pendapatan, Kerajaan boleh mewujudkan TABUNG WAKAF NEGARA. Ini adalah dana wakaf yang produktif yang akan berkembang melalui pelaburan dan terus membiayai apa yang perlu. Sesungguhnya Wakaf adalah cara yang ampuh untuk menambah pendapatan kerajaan yang dapat kita gunakan untuk menangani masalah sosioekonomi dan membiayai projek-projek berkepentingan awam. Oleh itu, kami mengalu-alukan peruntukan Belanjawan 2021 untuk meningkatkan pengurusan wakaf di negara ini untuk memastikan mobilisasi dan pengurusan perkhidmatan yang lebih cekap.

Akhir sekali, Kerajaan boleh menggunakan mekanisme crowdfunding untuk meminjam dana dari orang ramai, berdasarkan qardhul hasan bebas faedah. Kami percaya kita akan dikejutkan betapa Rakyat mampu dan perihatin akan rela meminjamkan wang mereka tanpa faedah, kepada Kerajaan apabila diperlukan.

Sekretariat
Gerakan Keadilan Monetari Malaysia / Movement for Monetary Justice Malaysia (MMJ)
Laman web: mmj.my
E-mail: monetaryjustice@gmail.com
7 November 2020